Alhamdulillah , segala puji bagi Allah . Hati saya terdetik diminta isi dengan suatu
hikmah yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi ke alam sana . Hasil
penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta , Pn Nuraini Binti
Che Mat , ibu kepada almarhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir . Semoga
kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini . Al-fatihah .
_________________________________________________________________________________
6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan.
Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu
berita kemalangan itu.
7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula
membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah
kewangan mula berbangkit, wang kami
tidak mencukupi’
8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan
lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan
selesai.
9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit
menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan
darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip
air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub.
Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap
telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar
berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.
10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi,
kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami
berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan
tentang kawan2 yang datang, yang
berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa
besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk
airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap
dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap
dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita
berpindah kepadanya.
Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai
bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian
dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air
yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam
10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang
menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh
seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.
11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup
ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus
betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga.
Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong
layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam
hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan
kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .
Lawatan Naib
Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin
sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan
pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru
menyebabkan pernafasannya tidak stabil.
12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar.
Kami perlu kuatkan pernafasannya.
Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia
dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah
boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan
menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat
diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan
meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan
diletakkan di wad D3.
13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh
Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The
whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada
dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia
hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia
berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan,
ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG
MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum
kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak
disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah
si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah
kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA
mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.
Takada rahsia lagi.
Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya,
saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa
setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan
semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga
akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana
yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan
bersyukur. Pasti ade hikmahnya.
Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia
kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an
dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia
jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH
berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh
jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa
lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’
14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib,
cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema,
kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah.
Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera
bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan
mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung.
Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu,
selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa
bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha
menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan
tidak mencungap cungap lagi. Keletihan
yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya.
Stabil.
Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor
membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang.
Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa
itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh
bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air
yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka
berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.
Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2
yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya
Allah tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah,
ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami
tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak
terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang,
kadang2 waktu sahabat ziarah” Hati kami
mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan
menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg
sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya,
sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja
nikmat yang sedang dinikmatinya.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari,
hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan
untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria,
makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2
pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba
ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak
boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh
letak kat leher” lalu Allah perkenankan
hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari
yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)
Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna
tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan
dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam.
“Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di
sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam
untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana
ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong
akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu
manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana
ni….nak percaya tak?
Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia
menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk
menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam
zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang
tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya
terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih
arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah
tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.
Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah,
Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah
banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive.
Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat
darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati
mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha
mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.
16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut.
Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak
angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul
muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam
kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi…
dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada
pelawat yang datang.
Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya
pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak
solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah
ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat.
Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya
dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan.
Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi
je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak
akak muntah dan dia datang bantu.
Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya
hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian
muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya
macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman
akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan
dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.
Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah
akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak
menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak
akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti,
orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal.
Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa
lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.
Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak
mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde
sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana
pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya
pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa .
Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak
ceritakanlah bagi pihak akak”
Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian.
Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2
dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta
digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada
dihospital tu. Ada beberapa hutang
kecilnya minta dilunaskan.
Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?”
Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah
badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong
keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH.
Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik
sangka Allah menolongnya. Benarlah
seperti hadis qudsi, Allah bertindak
mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka
Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak
teruk.
17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba
menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis
dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang
gagal menghantar arahan ke anggota badan.
Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan
yang terbaik untuknya.
Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula.
Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub
dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih
1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan
itu diketahui.
Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke
mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak
bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut
pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” . Dalam
keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan
syurga Allah tu mahal harganya…sabar
ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang
drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk
menolong beliau melalui kesukaran itu.
Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta
dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya
terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri
membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang
keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya
terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari
jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan
beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula
kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam
termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak
jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya.
Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu
bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor
dan nurse mula berkejar datang nak
menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.
Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak.
Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami
berkejar kejaran tolak katil Hajar ke
ICU okid.
Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke
mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali
terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak
bangun2 lagi.
18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan
sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor,
untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan
CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin
biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas
kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib
tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung
Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99% .Hakikatnya carta pernafasan di
paparan skrin tu terasa semacam gimik.
19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan
tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar,
pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan
mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya
atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk
bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang.
Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil
semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah
kami bermohon pertolongan dan petunjuk.
Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi
doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak
berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis
darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin
dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah
kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak
boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil.
Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis.
Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku
kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah
berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana
risikonya besar.
Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus
Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah
Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu
boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA
TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami
iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak
membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.
Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan,
Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan
kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat
dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi
etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi
kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap
perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin
yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.
Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah
dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk
pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak
putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin
menatap wajahnya untuk kali terakhir
20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut
dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul
maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal
dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang
lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah
meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan
kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap
anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan
limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal
alamin.
Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan
lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara
hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan
mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana
kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga
ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya
SITI HAJAR
Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah
No comments:
Post a Comment