Tuesday, 10 December 2013

tiada siapa yang sempurna kerana status kita adalah HAMBA :)

Walau manusia hidup untuk seratus tahun sekalipun , belum tentu dia ingat pada tujuan kehidupannya . Manusia itu memang sifatnya selalu dalam kesibukan . Mereka sibuk dengan perkerjaan , perniagaan , pelajaran , perhubungan dan selainnya . Pokoknya manusia itu selalu sibuk dengan dunia yang mereka lupa sifatnya hanyalah sementara .

Bukanlah dunia itu tiada kepentingan malah kerana kehidupan dunialah kita dibawa ke negeri akhirat dan akhirnya tinggallah kita di sana menikmati kehidupan yang abadi . Sementara kita diberi kesempatan oleh Allah hidup di dunia ini , kumpullah sebanyak mana bekalan agar sejahtera kehidupan kita di akhirat kelak . Namun sememangnya sifat manusia itu sering lupa . Lupa tentang siapa kita di dunia, mengapa kita di dunia dan yang paling menyedihkan manusia lupa tentang dirinya sebagai seorang hamba .

Jika kita hamba , mengapa di dunia kita berlagak seperti kita ini Tuhan ? Jika kita hamba , mengapa tanpa segan silu kita hirup segala nikmat Allah tanpa rasa kesyukuran ? Jika kita ini hamba , mengapa masih ada yang lupa tentang tujuan sebenar kehidupan ?

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku . (Az-Zariyat: 56)

Dan inilah tujuan sebenar manusia diciptakan . Mari kita tanyakan pada diri kita wahai para hamba. Bagaimana dengan ibadah kita? Cukuplah dengan hanya kita renungi solat kita hari ini . Kerana itulah yang paling utama. Cukupkah lima waktu ? Andai cukup , khusyukkah solat itu ? Andai khusyuk , sudahkah kita menyebarkan ilmu tentang kepentingan solat yang betul ini kepada orang lain ?


Firman Allah S.W.T maksudnya ,
Adalah Dia yang telah menjadikan engkau khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat , kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya , dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani . (al-An’am: 165)

Kerana ayat di atas inilah aku bertanya . Kerana kita juga adalah khalifah .

Menjadi hamba itu bukanlah satu kehinaan tetapi satu kemuliaan kerana kita hamba kepada Yang Maha Agung , Yang Maha Kuasa atas segalanya . Malah kita turut diangkat sebagai khalifah untuk memimpin dunia . Belum nampakkah kita dengan kasih sayang Allah ? Jika belum , kita patut menyesal sekarang .

Wahai saudara ku , marilah kita membuat perubahan mulai detik ini . Ketepikan segala sifat keegoan . Dan sentiasalah ingatkan diri yang sering lupa ini tentang hakikat kehidupan . Baikilah diri kita agar kita hidup benar-benar sebagai seorang hamba dan khalifah kepada-Nya . InsyaAllah . Semoga Allah redha .

No comments:

Post a Comment